Pemandangan matahari terbenam dirakamkan di Los Angeles, California menjelang gelombang panas yang dijangka hujung minggu ini. - Foto AFP
LOS ANGELES: Gelombang panas berbahaya dijangka melanda selatan California hujung minggu ini dengan ramalan peningkatan risiko penyakit berkaitan cuaca panas dan kebakaran, lapor agensi berita Xinhua, memetik Perkhidmatan Cuaca Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
"Cuaca panas melampau yang membahayakan pada hujung minggu ini di California. Suhu boleh mencapai paras tertinggi setiap masa," kata Perkhidmatan Cuaca Los Angeles di akaun Twitter rasminya.
Justeru, orang ramai digesa sentiasa berwaspada terutamanya mereka yang berisiko dan yang bekerja di kawasan terbuka.
Agensi itu memberi amaran beberapa kawasan akan mengalami kenaikan suhu pada setiap hari sehingga hujung minggu dan cuaca panas melampau dijangka melanda semua kawasan dari Jumaat hingga Isnin, dengan suhu paling tinggi pada Ahad.
Pada Ahad suhu diramal antara 43.3 dan 46.1 darjah Celsius.
Amaran cuaca panas melampau yang dikeluarkan Perkhidmatan Cuaca Nasional akan berkuat kuasa mulai 10 pagi Jumaat hingga 8 malam Isnin waktu tempatan di beberapa wilayah di selatan California.
sumber : BERNAMA
Comments
Post a Comment