David Beckham, Victoria dipercayai dijangkiti COVID-19 selepas hadiri parti
Pasangan berkenaan turut menjalani ujian swab bagi memastikan mereka tidak menyebarkan virus terbabit sebelum terbang untuk pergi bercuti di Greece dan Itali.
BINTANG bola sepak terkemuka, David Beckham dan isteri, Victoria dilaporkan pernah dijangkiti COVID-19 selepas menghadiri sebuah parti di Los Angeles, California pada Mac lalu.
Lapor portal berita MailOnline, legenda bola sepak berusia 45 tahun itu dan isterinya, 46, turut bimbang sekiranya mereka dianggap penyebar utama COVID-19.
Ia berikutan kakitangan pasangan itu didapati dijangkiti virus berkenaan selepas membuat penerbangan ke beberapa negara selama dua minggu bersama dengan anak-anak mereka.
Difahamkan, Beckham bersama ahli keluarganya menaiki kapal terbang dari Los Angeles ke United Kingdom bagi menganjurkan parti besar-besaran sempena ulang tahun kelahiran anak lelakinya ke-21, Brooklyn di Cotswolds pada 4 Mac lalu.
Mereka kemudiannya kembali ke Amerika Syarikat pada 11 Mac susulan pelancaran kelab bola sepak baharu Beckham, Inter Miami di Florida lalu terbang semula ke Cotswolds pada 19 Mac, sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan.
Beckham dilaporkan mula berasa tidak sihat ketika berada di Miami dan isterinya, yang juga bekas anggota kumpulan Spice Girls, turut mengalami simptom seperti sakit tekak serta suhu badan yang tinggi, kata sumber.
"Pasangan itu telah menghadiri dua majlis kerana mempunyai kerja-kerja promosi dan mereka turut berjabat tangan serta mencium para peminat, termasuk beberapa orang kenamaan,” katanya.
Kesemua mereka juga turut dilaporkan menjalani kuarantin kendiri di kediaman mereka selama 14 hari sebelum ini.
Malah, rakan karib Victoria, mendedahkan pasangan itu menambah dua minggu lagi tempoh kuarantin kerana bimbang menjadi penyebar utama virus itu.
Pasangan berkenaan turut menjalani ujian swab bagi memastikan mereka tidak menyebarkan virus terbabit sebelum terbang bercuti di Greece dan Itali, sebelum ini.
Bagaimanapun, menurut jurucakap pasangan itu, kedua-dua selebriti terbabit enggan memberi sebarang komen ketika dihubungi beberapa agensi berita tempatan.
Comments
Post a Comment